Ulama sepakat
bahawa sunat bagi orang yang mengerjakan ibadah haji dan umrah, minum air
zamzam. Ini disebabkan Nabi Muhammad SAW minum air zamzam. Berdasarkan nas
asy-Syafi’eyah, bahawa air zamzam itu sunat diminum dalam apa keadaan sekali
pun. Hukum sunat itu tidak hanya khusus selepas mengerjakan tawaf, bahkan sunat
diminum bagi setiap orang walaupun bukan pada waktu mengerjakan ibadah haji
atau umrah.
Disebutkan
dalam hadis, Jabir bin `Abdullah, katanya:
“Aku pernah
mendengar Rasulullah bersabda: “Air zamzam itu diminum untuk keperluan apa
saja.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Dalam erti kata
lain, jika meminumnya dengan maksud menghilangkan rasa haus, maka Allah akan
menghilangkan rasa hausnya. Jika meminumnya untuk menghilangkan rasa lapar,
maka Allah akan mengenyangkannya. Sekiranya, meminumnya untuk menyembuhkan
penyakit, maka Allah akan menyembuhkan penyakitnya.
Diriwayatkan
Rasulullah gemar meminumnya dan tangan Baginda yang mulia dan penuh barkah
pernah dicelupkan ke dalam perigi zamzam. Rasulullah pernah bersabda:
“Air zamzam itu
diminum mengikut apa yang diniatkan atau dikehendaki. ” (Hadis riwayat Jabir,
lbnu Abbas, lbnu Umar dan Muawiyah)
Ahli ilmu
meluaskan huraian mereka terhadap hadis di atas. Al-Munawa berkata: “Air zamzam
adalah penghulu segala air, paling mulia, berharga dan disukai. “Allah memberi
minum dan menolong putera kekasihnya, Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim dengan air
zamzam. Maka, pertolongan seperti itu juga boleh diperoleh oleh orang selepas
baginda iaitu bagi sesiapa saja yang meminumnya dengan niat ikhlas, termasuk
kita
.
“Ramai ulama
meminumnya kerana sesuatu hajat dan mereka berhasil memperolehnya.”
Disebut
pengarang kitab al-’Aqdus Sameen bahawa Ahmad bin Abdillah Asy-Syarifee,
seorang khadam di Tanah Haram Makkah meminum air zamzam dengan niat dan tujuan
untuk berubat daripada buta. Lalu, dengan izin Allah, beliau sembuh. Menurut
pengarang kitab ini lagi, bahawa kejadian itu dikhabarkan sendiri gurunya,
al-Fufti Abdul Rahman bin Abil Khair alFasi. Al-lmam an-Nawawi sebagai mengulas
hadis di atas berkata: “Maknanya, barang siapa minum kerana sesuatu hajat,
nescaya memperoleh hajatnya itu.
“Hal ini,
dicuba ulama dan orang soleh bagi segala hajat mereka, sama ada hajat akhirat
mahupun dunia. Alhamdulillah, semuanya memperolehnya. ” (Lihat Tahzibul Asma
Wal-Lughat 3/139).
FAKTA Rahsia kelebihan air zamzam
- Boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dengan izin Allah.
- Diberkati dan mengeyangkan peminumnya.
- Mampu menyempurnakan hajat peminumnya dengan izin Allah.
- Allah menjadikan air zamzam sebagai penyebab kepada pembangunan dan kemajuan bumi Makkah. Seterusnya, kewujudan Baitullah di bumi itu.
- Antara mata air syurga.
- Antara tanda kekuasaan Allah di bumi Makkah.
- Antara nikmat besar dan manfaat yang dapat dilihat di Tanah Haram Makkah.
- Ia keluar dari kawasan paling mulia di muka bumi ini.
- Air dipilih untuk membersihkan hati Rasulullah SAW beberapa kali.
- Minuman orang mulia (al-abrar).
- Menambah kekuatan badan.
tq.kongsiinfo ni,apa yang saya cari :)
BalasPadam